LAPORAN MEDIA “NAMA ISLAM MESTI MENDAHULUI SEBELUM NAMA ASAL MUALAF” ADALAH BERCANGGAH

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff ketika sidang media pada Majlis Perasmian Simposium Guru-Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan.
Gambar: Bernama

KUALA LUMPUIR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan laporan dua media tempatan bertajuk “Nama Islam Mesti Mendahului Sebelum Nama Asal Mualaf – JAKIM” pada 29 Mac 2022 adalah tidak tepat.

Menurut JAKIM, laporan yang dikeluarkan media itu didapati bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam Majlis Perasmian Simposium Guru-Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan Kali Pertama Tahun 2022.

“Ketua Pengarah JAKIM hanya memaklumkan satu Garis Panduan Penamaan Saudara Baru yang telah diluluskan di peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam akan diedarkan ke seluruh negeri tanpa mengulas isi kandungan garis panduan tersebut.

“Garis panduan ini merupakan rujukan bagi mualaf yang berhasrat untuk membuat penukaran nama selaras dengan prosedur dan syarat yang telah ditetapkan oleh Akta Jabatan Pendaftaran Negara,” kata JAKIM dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu JAKIM berkata laporan yang dikeluarkan adalah bercanggah dengan tatacara yang ditetapkan dalam garis panduan yang akan dikeluarkan oleh pihak JAKIM. – AlHijrah Online

Leave a Reply