PNB UMUM DIVIDEN 4.3 SEN UNTUK ASB2, 4.0 SEN BAGI ASM

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan dividen masing-masing sebanyak  4.30 sen dan 4.00 sen bagi dua dana harga tetapnya, iaitu Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

Dalam satu kenyataan hari ini, dana itu berkata jumlah pembayaran pengagihan pendapatan bagi kedua-dua dana itu berjumlah RM1.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2022.

Daripada jumlah itu, ASB 2 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM514.5 juta, kepada 481,030 pemegang unit yang kini memiliki 11.96 bilion unit.

Sementara itu, ASM mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM883.5 juta, iaitu kepada 567,904 pemegang unit dengan pegangan 22.09 bilion unit. 

“Sehingga 22 Mac 2022, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM563.93 juta, manakala ASM mencatatkan RM1.03 bilion,” katanya.

PNB berkata pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 4.30 peratus dan 4.00 peratus,  yang kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 1.85 peratus sebanyak 245 mata asas untuk ASB 2 dan 215 mata asas untuk ASM.

“Pendapatan bagi kedua-dua dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, yang secara umumnya didorong oleh pembukaan semula ekonomi di kebanyakan negara seiring kita menuju ke fasa endemik.

“Kedua-dua dana ini juga meraih keuntungan menerusi strategi kepelbagaian portfolio dengan peningkatan peruntukan dalam pelaburan antarabangsa,” katanya.

Bagi ASB 2, PNB berkata pelaburan antarabangsa meningkat kepada 18.7 peratus berbanding 15.7 peratus pada tahun lepas, dan untuk ASM ia naik 20.5 peratus berbanding 19.8 peratus pada 2021.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

Jelas PNB, pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2022.

“Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB bagi kedua-dua dana tersebut telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 23 hingga 31 Mac 2022 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

“Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2022,” tambahnya.

Dalam usaha meningkatkan pengalaman pemegang unit, ASNB juga telah memperkenalkan laman sesawang baharu untuk orang ramai mendapatkan maklumat penting mengenai pengagihan pendapatan bagi kesemua 16 dananya.

“Maklumat seperti kadar pengagihan pendapatan dan tarikh pembayaran untuk tahun-tahun kewangan kebelakangan ini kini tersedia di https://www.asnb.com.my/IncomeDistribution.php.

“Kemudahan baharu ini akan memudahkan pemegang unit untuk memantau dan menguruskan pelaburan ASNB mereka dengan lebih baik,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply