APLIKASI VISA BIO MUDAHKAN JEMAAH HAJI DAN UMRAH MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik insiatif penggunaan aplikasi Saudi Visa Bio oleh kerajaan Arab Saudi dalam penambahbaikan sistem imbasan pasport, imbasan muka dan cap jari (biometrik) sebelum para jemaah haji dan umrah Malaysia berlepas ke Tanah Suci.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata inovasi itu wajar diberi pujian kerana aplikasi Saudi Visa Bio dapat mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen dan kastam serta menjimatkan masa ketika para jemaah haji tiba di negara berkenaan.

“Jemaah haji hanya perlu memuat turun aplikasi Saudi Visa Bio dalam telefon pintar masing-masing dan hanya perlu melakukan empat langkah mudah iaitu melengkapkan alamat emel, imbasan pasport antarabangsa, imbasan muka dan imbasan sepuluh jari untuk muat naik informasi ke dalam sistem tersebut.

“Maklumat peribadi yang dimuat naik ke dalam aplikasi ini akan memudahkan lagi pergerakan masuk ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah tanpa perlu menunggu lama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau usaha tersebut juga selari dengan inisiatif plan transformasi TH yang memberi penekanan terhadap digitalisasi dalam pengurusan haji.

“Rakyat Malaysia amat bertuah kerana Arab Saudi memilih Malaysia, antara negara yang terawal dalam melaksanakan projek perintis aplikasi ini dalam masa terdekat dan usaha penambahbaikan seumpama ini perlu diteruskan di masa-masa hadapan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada para jemaah haji,” katanya.

Untuk rekod, bermula pada tahun 2017, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang terpilih sebagai perintis bagi program Pra-Pelepasan Haji dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – AlHijrah Online

Leave a Reply