
PONTIAN: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu, di Kampung Seri Bunian, di sini, ditemukan selamat dan masih hidup, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Mohd Khairul Anwar Abd Ghani berkata, mangsa, Nathiah Selamat, 77, ditemukan pada jam 10.50 pagi tadi sebelum dibawa ke Hospital Pontian untuk pemeriksaan.
“Mangsa ditemui penduduk kampung pada jarak 2.4 kilometer radius dari timur Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Mangsa dalam keadaan selamat dan dihantar ke Hospital Pontian bagi pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu mangsa dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Bunian.
Pihak bomba dengan bantuan penduduk kampung telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.—AlHijrah Online