SEMBILAN LELAKI BERGADUH GUNA PEDANG SAMURAI DITAHAN

TAWAU: Sembilan lelaki tempatan berumur antara 21 hingga 33 tahun ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan di luar sebuah kafe di Kubota Square Tawau, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata, pada Jumaat dua video tular di media sosial masing-masing berdurasi 30 saat dan empat saat memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Kubota Square pada tengah malam Khamis.

Katanya, susulan kejadian itu dua laporan polis telah diterima sebelum pihak polis bertindak menjejaki dan menahan sembilan orang lelaki tersebut.

“Siasatan awal mendapati sembilan lelaki tersebut adalah dari dua kumpulan berbeza. Pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham akibat aktiviti berkaitan rumah judi.

“Salah seorang daripada sembilan lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 29 Januari hingga 1 Februari depan dan kes disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun yang sama.

Terdahulu, menerusi video yang tular, pergaduhan tercetus apabila dua individu kelihatan ‘berperang mulut’ sebelum salah seorang daripada mereka secara tiba-tiba melepaskan tumbukan.

Keadaan bertukar ganas apabila kumpulan lelaki terbabit dilihat menetak serta melibas objek panjang dipercayai pedang samurai selain membelasah antara satu sama lain sehingga berlarutan ke premis berhampiran. –AlHijrah Online

Leave a Reply