LELAKI MAUT ELAK TAPIR MELINTAS

Sumber Gambar : Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang pemuda maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan ketika mengelak seekor tapir yang melintas di Kilometer 98, Jalan Jerangau-Jabur dekat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), pagi tadi.

Menurut laporan, dalam kejadian jam 4.30 pagi, Mohd Norhakimin Mohd Fauzi, 26, yang tinggal di Taman Ehsan Ketengah Jaya, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sementara rakannya, Muhammad Irfan Nazran Ibrahim, 22, yang memandu Perodua Viva tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua sahabat itu dalam perjalanan dari Ketengah Jaya ke Bandar AMBS.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, beliau berkata, seekor tapir secara tiba-tiba melintas sebelum kereta cuba mengelak.

“Pemandu mengelak ke kiri jalan menyebabkan kereta terbabit terlanggar tiang elektrik sebelum terhumban ke dalam cerun.

“Mangsa yang juga peniaga kedai makan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum jenazah dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987. –AlHijrah Online

Leave a Reply