KONTRAKTOR DITEMUI MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK

TAWAU: Seorang pekerja kontraktor maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja penyelenggaraan bekalan elektrik di Jalan Bunga Raya berhampiran Taman Eastern, di sini pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Foh Soon Kong, 41, ditemui tersangkut pada tiang elektrik setinggi kira-kira enam meter sebelum mayatnya diturunkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.32 pagi berhubung kejadian itu.

Katanya, pasukan bomba telah diarahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer dari balai.

“Menurut laporan, seorang mangsa lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik dan tersangkut pada tiang elektrik ketika melakukan kerja penyelenggaraan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak menurunkan mangsa yang tersangkut dengan menggunakan tangga selepas kerja memutuskan bekalan elektrik dilakukan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Operasi kemudian ditamatkan pada jam 11.36 pagi.–AlHijrah Online

Leave a Reply