14 PEMANDU MABUK DITAHAN SEKITAR IBU KOTA

Sumber Gambar : JSPT KL

KUALA LUMPUR: Polis menahan 14 individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi dijalankan di sekitar ibu kota sejak Jumaat hingga awal pagi Ahad.

Operasi membanteras samseng jalanan dan mengesan pelbagai kesalahan trafik itu dijalankan di Jalan Pahang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bermula jam 9 malam hingga 4 pagi.

Ia dijalankan Unit Kuatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifuddin Mohd Salleh, berkata hasil pemeriksaan, seramai 14 pemandu yang kesemuanya lelaki berusia antara 30 hingga 55 tahun ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemuanya ditahan dan akan dituduh mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam operasi itu juga, Sarifuddin berkata, pihaknya menyita 15 motosikal yang didapati diubah suai ekzos dan akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan lanjut.

“Pada operasi ini juga, sebanyak 11 saman dikeluarkan JAS Kuala Lumpur kepada penunggang motosikal yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana bunyi ekzos motosikal terlalu bising.

“Selain itu, lapan penunggang motosikal lelaki berusia 13 hingga 20 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan melakukan pelbagai aksi berbahaya seperti zig zag, roket, ‘superman’ serta bersaing sesama sendiri,” katanya.

Katanya lagi, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –AlHijrah Online

Leave a Reply