SERPIHAN LOGAM DISYAKI KOMPONEN ROKET NEGARA CHINA DITEMUKAN DI MIRI

MIRI: Serpihan logam yang disyaki sebahagian daripada komponen roket milik China ditemukan di Sepupok, Niah, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata serpihan logam itu ditemukan penduduk di Batu Niah yang kemudiannya membuat laporan polis.

“Hasil tinjauan awal pihak polis mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman lebih kurang satu meter di kawasan sekitar rumah salah seorang penduduk di situ.

“Bagaimanapun, pihak polis tidak dapat mengesahkan asal usul logam tersebut dan telah meminta bantuan dari pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganalisa tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak berada di kawasan berhampiran tempat kejadian kerana dibimbangi logam tersebut mengandungi bahan radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan.

Katanya, kawasan terbabit telah dipantau dengan rapi untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana ianya boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

“Masyarakat juga disarankan untuk menghubungi balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat atau mendapatkan kepastian mengenai kejadian yang berlaku,” katanya.

Semalam media melaporkan serpihan roket Long March 5B milik China dikesan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak. – AlHijrah Online

Leave a Reply