SETIAUSAHA AGUNG LIGA DUNIA MUSLIM TIBA DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa tiba di Malaysia pada petang Sabtu.

Beliau mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dan disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Menurut Hakimah, kehadiran Sheikh Mohammad di negara ini adalah bertujuan untuk menghadiri Southeast Asian Ulama Conference 2022 yang akan diadakan pada 30 Jun 2022 di Subang Jaya.

“Sheikh Mohammad akan berkongsi idea dan pandangan dalam memperkukuhkan lagi keharmonian dan keamanan di rantau ini serta meningkatkan lagi semangat toleransi Islam dalam kepelbagaian Keluarga Malaysia,” kata Hakimah.

Persidangan yang melibatkan penyertaan wakil dari 20 buah negara di Asia Tenggara itu dianjurkan oleh JAKIM dan Liga Dunia Muslim.

Objektif persidangan itu ialah menekankan nilai kesederhanaan, pengukuhan nilai persahabatan dan nilai kerjasama dalam kalangan ummah serta menyebarkan kesedaran terhadap konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat secara keseluruhan. – AlHijrah Online

Leave a Reply