SIAPA YANG OKU SEBENARNYA?

Siapa pernah menyalah guna kemudahan untuk golongan kurang upaya (OKU), wanita hamil, warga emas atau kanak-kanak? Bila ditanya, mungkin tidak ramai yang akan mengaku. Namun jika lihat di persekitaran kita, isu ini masih wujud. Mungkin sengaja, mungkin juga tidak disengajakan.
Penulis sebenarnya telah berkali-kali terdetik di hati setiap kali melihat kemudahan OKU yang disediakan di negara kita. Contoh paling mudah, parkir khas OKU. Sebuah pusat beli belah yang penulis kunjungi baru-baru ini, ada menyediakan lebih lima parkir khas OKU. Semuanya ‘occupied’ atau digunakan. Namun apabila didekati, kebanyakan kenderaan menggunakan ruang itu tiada langsung pelekat khas OKU sebagaimana disyaratkan untuk pengunaannya.
Tiada petugas keselamatan yang memantau penggunaannya dan sesiapa sahaja bebas meletakkan kenderaan di situ walau bukan OKU sekali pun. Penulis sengaja menunggu antara 15 hingga 20 minit andai ada kenderaan pemilik OKU yang keluar dari ruang parkir khas itu. Sangkaan penulis benar. Rupa-rupanya pengguna yang meletakkan kenderaan di situ bukan berstatus OKU pun. Sihat sempurna fizikal dan mental!

“Siapa sebenarnya yang OKU ni?”. Bukan sahaja tidak hormat dan menafikan hak golongan itu, sebaliknya mereka tanpa rasa bersalah, menggunakan fasiliti yang seharusnya disediakan khusus buat OKU. Itu telah melanggar fitrah kejadian sesebuah kemudahan! Sudahlah guna kemudahan yang bukan untuk mereka, lebih parah lagi, pengunjung berstatus OKU pula terpaksa parkir jauh dan tiada ruang yang cukup untuk mereka membuka pintu kenderaan, meletakkan kerusi roda dan sebagainya.
Hakikatnya kesedaran sivik sebegini masih gagal ‘dipamerkan’ dan diteladani segelintir rakyat Malaysia. Penulis pernah ke beberapa negara maju, seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan Sepanyol. Penulis kagum, hak-hak dan fasiliti OKU sangat dijaga dan tidak disalah guna.
Golongan istimewa di sana amat disantuni dan dihormati. Tandas OKU bersih dan wangi, malah dijaga rapi. Kemudahan lain yang disediakan amat menepati spesifikasi yang ditetapkan standard tempatan dan antarabangsa.

Negara kita ada 513,000 individu OKU berdaftar di seluruh negara. Itu statistik setakat 31 Disember 2018 lalu, sumber daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jadi pada tahun 2019 pasti angka itu meningkat. Itu yang berdaftar, yang tidak berdaftar pula bagaimana?
Alhamdulillah, kerajaan telah lama mengambil perhatian khusus dalam menyediakan lebih banyak infrastruktur untuk golongan berkenaan. Bukan sahaja tertumpu di dalam sesebuah premis atau bangunan, namun kini turut fokus di luar bangunan, ruang awam, taman awam, tandas dan sebagainya.
Andai diperhati, lebih banyak keberadaan OKU di ruang-ruang awam; di pusat beli belah, taman permainan, pengangkutan awam seperti LRT dan MRT, lapangan terbang dan sebagainya.
Kemudahan buat mereka juga semakin hari semakin banyak disediakan; ramp untuk pengguna kerusi roda, blok-blok tactile di lantai bagi OKU penglihatan, tulisan braille, parkir OKU dan sebagainya. Ia manifestasi keprihatinan kerajaan dalam menyediakan keselesaan buat mereka.
Kerajaan juga pasti melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa berhubung keperluan, kehendak dan hak golongan istimewa itu. Terbaharu, kebajikan OKU turut diberi perhatian dalam Belanjawan 2020 yang dibentang bulan lalu, yang memperlihatkan golongan OKU berusia 18 tahun ke atas akan menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh kerajaan.
Siri audit akses telah diperkenalkan di negara kita sejak lebih sedekad lalu untuk mengenal pasti halangan dan keterbatasan buat mereka. Ia salah satu cara terbaik yang diamalkan bagi mengesyor keperluan naik taraf sesuatu kemudahan supaya lebih mesra golongan istimewa itu.

Lebih menarik, pengenalan Rekabentuk Universal (Universal Design) atau tema sesebuah rekabentuk seperti Design for All juga telah mula diaplikasi bagi memastikan OKU menerima manfaat sama, sebagaimana diperolehi orang lain yang bukan berstatus OKU.
Pun begitu, semua usaha ini memerlukan sokongan dan tanggungjawab daripada rakyat. Ia tidak akan berfungsi sebaik mungkin jika kemudahan itu disalah guna, musnah angkara vandalisme, atau mungkin disediakan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ semata-mata. Ia haruslah menepati objektif penyediaannya, dan benar-benar memberi impak positif kepada pengguna sasarnya.
Mungkin contoh di atas antara yang akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam silibus kursus Pendidikan Sivik yang akan diperkenalkan di peringkat universiti tahun depan. Pentingnya ia supaya penuntut generasi kini mempunyai aras pemikiran yang tinggi, berperibadi mulia dan beriltizam untuk menyelesaikan masalah dialami masyarakat dan bukan sebaliknya.
Tahun depan, kita menjengah tahun 2020. Sebuah manifestasi kita menjadi sebuah negara maju dengan pemikiran rakyat lebih bertamadun. Maka seharusnya tiada lagi isu-isu melanggar ‘fitrah kejadian’ sesuatu yang telah diciptakan, demi manfaat dan kebaikan bersama. — AlHijrah Online
Penulis adalah Ketua Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV AlHijrah