SIDANG KEMUNCAK KL: NARATIF MALAYSIA MENGENAI ISLAM

Mungkin ada yang memandang sinis terhadap persidangan dalam kalangan pemimpin negara Islam anjuran Malaysia bermula 18 Disember ini dan beranggapan pertemuan ini sebagai satu lagi mesyuarat bertaraf global, tetapi tidak mampu melaksanakan apa yang telah dibincangkan.
Stigma yang bersifat negatif ini mungkin terbit kerana begitu banyak persidangan mengenai hal ehwal negara Islam seperti Palestin, Syria dan Yaman atau kemelut yang melanda ummah Rohingya dan Uighur diadakan tetapi hasilnya hanya tercetak di atas kertas sahaja dalam bentuk resolusi atau kenyataan bersama tanpa ada tindakan susulan yang bermakna.
Tidak kira sama ada persidangan dianjurkan oleh kuasa besar barat atau oleh negara Islam sendiri, hasilnya tetap serupa iaitu harapan hanya tinggal harapan.
Lebih memeritkan lagi keadaan, organisasi berkepentingan seperti Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) atau Liga Arab juga tidak mampu memainkan peranan yang diamanahkan.
Apakah mungkin negara kecil seperti Malaysia sebagai penganjur Sidang Kemuncak KL 2019 mampu melakukan sesuatu yang berbeza apabila membincangkan isu yang membabitkan negara Islam bukan sahaja menjadi kemusykilan rakyat negara ini tetapi juga masyarakat global.
Bayangkan jumlah penduduk yang beragama Islam merangkumi hampir 25 peratus jumlah keseluruhan penduduk dunia dan dengan kekuatan ini sahaja secara logiknya pasaran ekonomi negara Islam sepatutnya begitu hebat.
Malah jika diambil pengukur kemakmuran iaitu pendapatan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) beberapa negara Islam seperti Qatar, Brunei, Arab Saudi dan Kuwait berada seiring dengan negara maju lain.
Tetapi jika dikategorikan negara miskin maka bukan sahaja kebanyakan negara kelas ini berada di benua Afrika atau Asia tetapi lebih menyedihkan majoritinya adalah negara Islam.
Malah 60 peratus konflik bersenjata yang berlaku hari ini adalah melibatkan negara Islam. Dari segi kekuatan ekonomi pula, negara Islam hanya menyumbang 10 peratus dari keseluruhan aktiviti dagang global.
Memang tidak dinafikan isu Islamofobia juga membelengu negara Islam kerana pandangan serong terhadap mereka yang beragama Islam dan yang berasal dari negara Islam juga merupakan salah satu faktor yang memundurkan negara Islam.
Sifat prejudis seperti ini dianggap sebagai diskriminasi yang berlaku dalam semua hal seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan dan sosial.
Tidak menghairankan juga jika agenda Islamofobia bakal menjadi agenda perbincangan sidang kemuncak kerana selagi wujud fenomena ini, ia bakal menjadi pemangkin kemunduran penduduk dan negara Islam.
Kejadian aktiviti keganasan di London tiga minggu lepas dan terkini kejadian tembakan rambang di Pensacola, Florida di mana pelakunya masing-masing bernama Usman Khan dan Mohammed Saeed Alshamrani telah memperkuatkan lagi sikap Islamofobia di kalangan masyarakat global.
Malah kempen pilihanraya UK yang memasuki fasa terakhir telah menyaksikan isu imigran yang turut melibatkan negara Islam menjadi salah satu bahan kempen utama.
Begitu jua dengan kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat (AS), di mana penyandangnya iaitu Presiden Donald Trump sering menjadikan masyarakat beragama Islam sebagai kambing hitam.
Sebab itu inisiatif Kuala Lumpur, Ankara dan Islamabad untuk menubuhkan kerjasama rangkaian media televisyen untuk menyebar naratif sebenar Islam besar kemungkinan akan menjadi agenda perbincangan sidang kemuncak.
Jika dibiarkan media barat dengan penceritaan versi berat sebelah mengenai Islam, selagi itu Islamofobia tidak dapat dihapuskan.
Tetapi apa yang paling kritikal ialah bagaimana untuk mengguna kelebihan pasaran 1.8 bilion penduduk beragama Islam, iaitu agenda ekonomi perlu diperhalusi dalam sidang kemuncak ini.
Dalam kalangan negara OIC, empat negara teratas dalam hal jumlah dagangan ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Malaysia, Turki dan Arab Saudi yang membawa maksud banyak lagi negara Islam yang berkemampuan tetapi tidak melabur kekayaan mereka ke saluran yang sepatutnya.
Salah satu sebab utama mengapa Presiden Xi Jinping memperkenalkan Insiatif Jalur dan Laluan (BRI) adalah untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan jika dana yang dimiliki dilaburkan di luar China.
Selain itu faktor geopolitik iaitu pengembangan pengaruh Beijing juga menjadi pemangkin kepada BRI. Lebih menarik jika inisitif seperti ala BRI dapat direncanakan dalam sidang kemuncak kerana ia sudah pasti memberi impak yang besar kepada ekonomi negara Islam.
Ketika berucap di Universiti Kaherah pada 2009 iaitu komunikasi terbuka pertama kali oleh Presiden Barack Obama dengan negara dan penduduk Islam, beliau telah memberi contoh Malaysia adalah sebuah negara model yang moden dan progresif yang perlu menjadi contoh kepada negara Islam yang lain.
Penghargaan itu merupakan cabaran kepada Kuala Lumpur untuk memberi contoh negara Islam terbaik dan harapannya Sidang Kemuncak KL akan memberi naratif sebenar mengenai Islam. — AlHijrah Online