SUAMI ISTERI MOHON MAAF MUAT NAIK VIDEO KEMALANGAN PEMANDU TRELER

SUNGAI BULOH: Sepasang suami isteri menafikan rakaman video berkenaan kemalangan melibatkan seorang pemandu treler yang mengalami serangan jantung, di kawasan berhampiran kilang Daikin, di sini, pada Isnin, adalah milik mereka.

Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok @mubarakkhan1535, lelaki tersebut berkata dia hanya memuat naik semula video berkenaan di akaun TikToknya selepas menerima video tersebut melalui WhatsApp.

“Video itu dihantar di dalam WhatsApp ‘group’, saya cuma muat naik semula sahaja. Saya tidak ada kena mengena dengan video itu.

“Kereta yang dilanggar itu juga bukan kereta saya, dengan suara dalam video itu memang tak sama dengan suara isteri saya,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada lelaki itu meminta maaf kepada keluarga pemandu treler tersebut serta menegaskan bahawa bukan dia yang merakam video itu.

Sebelum ini, tular sebuah video menunjukkan seorang wanita menuduh pemandu treler sedang mabuk selepas melanggar beberapa kenderaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, pemandu treler itu dipercayai sakit dada sehingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu melanggar tiga buah kereta yang diparkir di bahu jalan.

Tambahnya, lelaki itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada jam 12.09 tengah hari akibat serangan jantung.–AlHijrah Online

Leave a Reply