SUAMI MAUT, ISTERI PATAH KAKI DALAM NAHAS KENDERAAN BERTEMBUNG

JERANTUT: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Jerantut-Benta berdekatan Kampung Som, pagi tadi.
Dalam nahas tersebut, isteri kepada mangsa yang membonceng motosikal jenis SYM bersama suaminya patah kaki dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Jerantut.
Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Mazlan Hassan berkata, kereta jenis Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun telah hilang kawalan semasa di lokasi kejadian.
“Pasangan berusia 25 tahun yang menaiki motosikal itu datang dari Damak ke bandar Jerantut telah bertembung dengan kereta Myvi yang datang dari arah bertentangan.
“Pemandu kereta Myvi telah gagal mengawal kenderaan dipandunya lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri itu,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Mazlan Hassan berkata, penunggang yang bertugas di Ladang Risda Damak, Jerantut itu cedera di bahagian kepala dan punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dijalankan.
“Keputusan ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu kereta tersebut didapati negatif dan pemandu kereta itu ditahan polis.
“Kemalangan itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.–AlHijrah Online