Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TANAH JERLUS: SAR DIHENTIKAN, KINI FASA ‘SEARCH AND RECOVERY’

DALAM NEGARA

TANAH JERLUS: SAR DIHENTIKAN, KINI FASA ‘SEARCH AND RECOVERY’

Proses mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus yang melibatkan wanita warga India di Jalan Masjid India, di Kuala Lumpur, dihentikan bermula hari ini.

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India dihentikan dan kini memasuki fasa ‘search and recovery.’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pakar dan keputusan Kabinet. 

“Kita mendapatkan pandangan dari sudut pakar sebelum mengambil apa-apa keputusan setelah kita kumpulkan semua kepakaran termasuk pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), pihak (Jabatan) Bomba (dan Penyelamat Malaysia), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), IWK (Indah Water Konsortium), rakan geologi kita dan agensi-agensi lain… kita ambil keputusan untuk menghentikan SAR hari ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Pada 23 Ogos lepas, mangsa yang dikenali sebagai G.Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus pada 8.22 pagi.

Dr Zaliha berkata antara faktor yang membawa kepada penamatan operasi itu ialah isu keselamatan serta risiko kepada anggota pasukan SAR dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi insiden.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya akan melakukan pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di seluruh Kuala Lumpur.

“Kita juga akan melakukan libat urus dengan peniaga di sini untuk kita bantu mereka teruskan aktiviti biasa. Kita juga minta DBKL melakukan pemulihan dan pembinaan semula di kawasan yang terlibat ini,” katanya.

Dr Zaliha berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan berjarak 100 meter dari pintu gerbang Masjid India ke pusat beli-belah Mydin untuk dilakukan proses baik pulih itu.

Beliau juga berkata pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India telah memaklumkan kepada keluarga mangsa penamatan operasi itu dan mereka memahami keputusan tersebut.

Dr Zaliha berkata pihaknya akan turut membantu menguruskan pelanjutan visa keluarga mangsa jika perlu. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading