TANAH RUNTUH: JENAZAH NURUL AZWANI DIKEBUMI MALAM INI

Sumber Gambar: BERNAMA

SUNGAI BULOH: Jenazah salah seorang mangsa tanah runtuh di Gohtong Jaya, Batang Kali, Allahyarhamah Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh, Gombak, malam ini.

Perkara tersebut dimaklumkan salah seorang ahli keluarga mangsa.

Difahamkan jenazah Allahyarhamah selesai menjalani sesi pengecaman dan bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, pada petang tadi.

Van jenazah yang membawanya juga telah meninggalkan hospital tersebut pada jam 7.45 petang.

Sumber Gambar: BERNAMA

Beberapa ahli keluarga mangsa turut hadir ke hospital tersebut termasuk ibu mangsa, Siti Esah Hassan, 53.

Katanya kali terakhir dia bertemu Nurul Azwani adalah pada Rabu lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, Allahyarham yang bekerja di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong telah mengikuti rombongan perkhemahan dilakukan oleh kakitangan sekolah itu sejak Rabu lalu.

Setakat jam 9.50 malam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Norazam Khamis mengesahkan seramai 24 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, manakala sembilan lagi masih dilaporkan hilang.

Seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat lalu.–AlHijrah Online

Leave a Reply