TANGGUH UMRAH: BAKAL JEMAAH DAPAT BAYARAN BALIK ATAU DIJADUAL SEMULA PERJALANAN

Sumber Gambar : AFP

Kuala Lumpur: Bakal jemaah umrah yang tidak dapat mengerjakan ibadat itu susulan kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Januari ini, akan mendapat bayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) untuk membantu semua bakal jemaah umrah yang terkesan dengan penangguhan itu.

“Memang kita sudah bincang dengan mereka bagaimana mereka (bakal jemaah umrah) yang terkesan ini dapat sama ada menjadualkan semula umrah mereka dan langkah untuk dapat bayaran balik selain kita juga akan terus adakan sesi libat urus dengan agensi pelancongan.

“Saya minta maaf kepada mereka yang hendak mengerjakan umrah tetapi mudarat yang besar adalah kesihatan awam, tidak ada menteri beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadat umrah, tetapi ini perkara yang serius, ini bukan tweet di media sosial, ini bukan video di TikTok, ini adalah kehidupan anda,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Khairy Jamaluddin

Kerajaan hari ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadat umrah bermula 8 Januari bagi membendung penularan Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan sesetengah jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman.

Ditanya mengenai kos kuarantin wajib di pusat kuarantin yang akan dikenakan kepada jemaah umrah, Khairy Jamaluddin berkata, mereka mempunyai pilihan sama ada menanggung sendiri bayaran kos kuarantin di hotel yang akan disenaraikan oleh KKM atau menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Kata Khairy Jamaluddin, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menguruskan stesen kuarantin yang sesuai dan selesa untuk menempatkan jemaah dan berkemungkinan membabitkan kemudahan kerajaan yang telah digunakan sebagai pusat kuarantin sebelum ini. –AlHijrah Online

Leave a Reply