TAPAK BINA MASJID TERBIAR HAMPIR 20 TAHUN

TELEMUNG: Harapan penduduk Kampung Kubang Palas, di sini untuk mendapat masjid baharu masih belum terlaksana walaupun sudah menanti hampir 20 tahun.

Ketika ini ahli kariah kampung yang semakin bertambah terpaksa menggunakan masjid yang uzur dan dimamah anai-anai ekoran pembinaanya daripada struktur kayu.

Tinjauan krew Berita AlHijrah di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati, tapak masjid terbiar semakin ditumbuhi semak samun tidak terurus dan ia dikhuatiri akan mengundang ancaman keselamatan lain.

Ketika ini, ahli kariah terpaksa menggunakan masjid lama yang agak uzur dan kecil serta dilihat tidak mampu menampung jemaah terutamanya pada setiap kali perayaan.

Penduduk tempatan yang ditemui, Nur Rufiah Taib, 60-an, berkata sejak dokumen pembinaannya diluluskan pihak berkaitan pada 2007, sehingga kini belum ada petanda ia akan dibina.

“Kita dah tua, mana tau tak sempat rasa masjid baru. Masjid lama memang dah uzur sangat dah dimakan anai-anai.” katanya.

Seorang lagi penduduk, Lanang Che Ismail turut menzahirkan kekecewaan dan berharap mana-mana pemimpin yang bakal dilantik nanti akan mengutamakan pembinaan masjid ini.

“Saya berharap sangat mana-mana kerajaan akan utamakan masjid ni kerana masalah masjid ini dah lama.”

“Tambahan lagi, tapak sekarang ni tiada tempat letak kereta jadi bila orang nak sembahyang mereka akan parking tepi jalan dan makan laluan.”

“Jadi saya mohon sangat-sangat kepada kerajaan negeri akan datang untuk menyokong supaya pembinaan dalam dilaksanakan dengan secepatnya,” katanya.

Ketika ini, masjid lama terletak kira-kira 100 meter dari tapak terbiar berkenaan.

Sementara itu calon DUN Telemung ketika ditemui krew Berita AlHijrah berkata, mereka juga maklum mengenai isu berkenaan, dan jika diberi mandat rakyat, pembinaan masjid baharu di Kampung Kubang Palas itu dijangka akan menjadi perhatian mereka.

Datuk Rozi Mamat

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Telemung, Datuk Rozi Mamat yang juga penyandang DUN berkata pembinaan masjid itu sememangnya sudah termasuk dalam agenda untuk digerakkan sekiranya diberi mandat.

“Kalau BN yang memerintah saya janji bukan kampung itu sahaja, di Basong satu dua tempat tu memang dalam agenda kita dan kita akan gerakkan,” ujarnya.

Mohd Zawawi Ismail

Dalam pada itu, calon Bersatu DUN Telemung, Mohd Zawawi Ismail pula berkata, isu ini akan cuba diselesaikan secepat mungkin sekiranya dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri.

“Perkara-perkara yang menjadi rungutan rakyat yang belum diselesaikan, kita akan cuba untuk merencanakan apa yang harus kita buat selepas ini insya-Allah.”

“Kita tak nak biarkan masalah ini membelenggu rakyat dan seterusnya kita cuba selesaikan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Sekiranya impian hampir kira-kira 400 penduduk untuk mendapat masjid baharu di tanah seluas satu hektar ini terlaksana, pembinaannya adalah seratus peratus konkrit menggantikan masjid uzur yang seratus peratus daripada kayu. –AlHijrah Online / Shima Ismail

Leave a Reply