TENTERA DIPERCAYAI LEMAS KETIKA LATIHAN MENYEBERANGI SUNGAI PAHANG

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang anggotanya dipercayai lemas dan hilang semasa menyeberangi Sungai Pahang ketika menjalani latihan Eksesais Para Predator di Kawasan Am, Bera, Pahang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Markas TDM, mangsa merupakan seorang anggota TDM daripada 10 Briged Para (10 Bgd Para), Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa yang juga merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para).

Menurutnya, semasa kejadian anggota tersebut sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor pada jam 4.40 petang, 29 Ogos lalu.

“TDM telah menggerakkan anggota operasi dan menyelamat namun tiada penemuan sehingga kini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang telah dilaksanakan di tempat kejadian pada 29 Ogos 21 jam 4.50 petang.

“Turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung di kawasan di mana mangsa kali terakhir dilihat,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Semalam, operasi SAR terpaksa ditangguhkan sementara kerana keadaan cuaca yang semakin gelap namun operasi tersebut disambung pada hari ini.—AlHijrah Online

Leave a Reply