JAIS SIASAT DAKWAAN KARTEL CAJ PENGURUSAN JENAZAH COVID-19

Sumber Gambar: AFP

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat dakwaan terdapat pihak mengenakan caj pengurusan jenazah COVID-19 di hospital seluruh Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan isu tersebut boleh melaporkan kepada JAIS agar siasatan dapat dijalankan.

“Saya difahamkan bahawa kes ini berlaku sebelum 25 Ogos lalu, namun jika berlaku lagi, saya minta semua pihak salurkan maklumat kepada JAIS.

“Saya ambil serius mengenai hal ini kerana JAIS tidak mengenakan sebarang caj pengurusan jenazah di hospital,” katanya dalam sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-14 di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Zawawi mengulas perkara tersebut selepas ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri membangkitkan tentang kewujudan kartel tersebut kebelakangan ini.—AlHijrah Online

Leave a Reply