TERENGGANU BENARKAN SOLAT JEMAAH DAN SOLAT JUMAAT IKUT KAPASITI MASJID, SURAU

KUALA TERENGGANU: Terengganu membenarkan solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di semua masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa hingga 18 Februari depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu Datuk Osman Muda berkata kebenaran tersebut telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin serta mendapat pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Menurutnya, jumlah jemaah yang dibenarkan mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, antaranya tidak memasang penyaman udara sepanjang aktiviti solat, membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.

“Jawatankuasa masjid dan surau perlu melakukan proses sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas dan ruang wuduk sebanyak tiga kali seminggu.

“Jawatankuasa masjid dan surau bertanggungjawab sepenuhnya dalam mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan jika gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, aktiviti kuliah harian masih tidak dibenarkan termasuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lain.

Dalam masa yang sama, Sultan Mizan Zainal Abidin juga menyeru rakyat jelata agar mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan supaya wabak COVID-19 ini dapat dikawal dengan sebaik mungkin.

“Baginda menghargai pengorbanan masa dan tenaga semua petugas barisan hadapan dan berharap rakyat jelata terus bersabar dan berdoa semoga sentiasa berada dalam kerahmatan dan lindungan Allah,” katanya.

—AlHijrah Online

Leave a Reply