TH LANTIK DUA PENGURUSAN KANAN BAHARU

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan dua pelantikan baharu bagi pengurusan kanan selaras usaha memantapkan kepimpinan organisasi pengurusan haji negara itu.

TH dalam kenyataannya berkata, dua pegawai kanan itu adalah Rozita Khamsiah Othman yang dilantik sebagai Setiausaha Lembaga berkuat kuasa 9 Mac lalu dan Ahmad Shahriman Johari dilantik sebagai Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan pada 1 April 2020.

Rozita Khamsiah mempunyai pengalaman luas sebagai penasihat undang-undang dalaman dan setiausaha syarikat berlesen dari pelbagai industri termasuk institusi kewangan kerajaan, pembinaan dan pembangunan hartanah.

“Sebelum menyertai TH, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan di Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan bertanggungjawab dalam aspek pengurusan undang-undang syarikat termasuklah memimpin, mengurus dan memantau penyampaian khidmat nasihat undang-undang.

“Ini termasuklah kepada Lembaga dan ahli-ahlinya dalam aspek litigasi, pentadbiran undang-undang dan perkhidmatan undang-undang bagi pengurusan risiko organisasi.

“Beliau juga pernah berkhidmat dengan Malaysia Debt Ventures Berhad, KUB Malaysia Berhad dan Kumpulan Maju,” kata kenyataan TH di sini hari ini.

Manakala Ahmad Shahriman yang memegang Ijazah Kesusasteraan Bahasa Inggeris dari Acadia University, Kanada dilantik sebagai Pengurus
Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan pada 1 April lalu.

“Ahmad Shahriman sebelum ini adalah Ketua Komunikasi Korporat di Sime Darby Property Berhad, bertanggungjawab dalam mengurus hal ehwal perhubungan awam serta komunikasi syarikat tersebut.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perhubungan media dan pernah memegang jawatan Ketua Pengarang Berita di New Straits Times (NST),” kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof berkata, kehadiran Rozita dan Ahmad Shahriman yang memiliki pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang masing-masing adalah usaha untuk mengukuhkan TH dengan kepimpinan profesional.

“TH mengalu-alukan pelantikan ini dalam usahanya menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik,” katanya dalam kenyataan itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply