COVID-19: DARI KEDAI FIZIKAL KE PLATFORM E-DAGANG

KUALA LUMPUR: Kekangan operasi perniagaan fizikal akibat penularan COVID-19 perlu dijadikan titik permulaan kepada usahawan dan perniaga untuk berinovasi dan melangkah ke arah platform e-dagang.

Pengarah Kanan Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, platform digital yang hanya memerlukan modal yang rendah mampu menyumbang kepada pendapatan usahawan ketika berlaku bencana seperti COVID-19.

“Ada hikmah di sebalik COVID-19 untuk kita lihat pentingnya teknologi zaman sekarang ini, khususnya kepada semua usahawan.

“Dulu anak muda Gen-Y ke arah dalam talian, tapi sekarang ‘makcik kiah’ juga kena belajar untuk platform digital dan kita kita kena beri tunjuk ajar kepada golongan ‘baby boomers’ untuk ke arah digital,” katanya kepada AlHijrah Online mengenai cabaran usahawan dan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19.

Pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu menyebabkan ramai usahawan dan peniaga yang bergantung kepada kaedah konvensional, termasuk hanya mempunyai kedai fizikal, berdepan masalah kerana bergantung kepada pelanggan yang melakukan urusan jual beli di kedai.

Malah ada dalam kalangan usahawan yang berdepan risiko “gulung tikar” apabila tidak dapat melakukan penjualan ekoran kekangan pergerakan di bawah penguatkuasaan PKP bagi mengekang penularan wabak penyakit itu.

Dr Nik Maheran berkata ketika ini platform e-dagang semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan terutama golongan muda.

Katanya, usahawan lebih berumur kurang pendedahan berkenaan kebaikan platform digital menyebabkan ramai hanya mengharapkan keuntungan dari operasi perniagaan biasa.

“Golongan lebih berusia ini mereka bukan takut untuk ke platform digital, cuma mereka tak tahu dan tak didedahkan dengan kelebihan perniagaan atas talian,” katanya.

Dalam pada itu bagi memperkasakan perniagaan atas talian, Dr Nik Maheran berkata UMK telah melancarkan platform e-dagangnya yang digelar UNiK19.

Laman sesawang itu diwujudkan bertujuan membantu usahawan dalam kalangan pelajar, penyelidik dan pensyarah UMK untuk memasarkan atau mendapatkan produk diinginkan dan ia terbukti berkesan.

“Sebelum ini UNik19 hanya untuk warga UMK, namun menjelang bulan Ramadan ini kita bercadang untuk buka kepada umum dan menjadikan UNiK19 sebagai portal e-bazar Ramadan untuk membantu peniaga sekitar Kelantan yang terjejas akibat COVID-19,” katanya.

Dr Nik Maheran turut menyambut baik usaha TV AlHijrah menyediakan ruang pengiklanan dan hebahan percuma di platform stesen televisyen islamik itu.

Bermula 4 April lalu untuk tempoh tiga bulan, TV AlHijrah menyediakan slot pengiklanan percuma kepada tiga usahawan IKS setiap hari dalam program bual bicara Assalamualaikum untuk menghebahkan produk mereka.

Hebahan ini dilakukan melalui aplikasi skype di tempat masing-masing di mana usahawan IKS berada sebelum disiar secara langsung di TV AlHijrah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris ketika melancarkan Pakej Stimulus IKS TVAH berkata, inisiatif itu digerakkan untuk membantu kelompok IKS yang terjejas akibat pelaksanaan PKP dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kalau kita tak bantu IKS jana ekonomi, kita akan lihat permasalahan ekonomi lebih besar impaknya kepada peluang pekerjaan dan ekonomi (secara umumnya).

“Inilah asanya untuk kita beri kembali kepada IKS supaya mereka boleh bangun semula,” kata Namanzee ketika mengumumkan Pakej Stimulus IKS TV AlHijrah bernilai RM7.65 juta dalam program Analisis bersama Syafinaz Yunus pada Jumaat lalu.

Melalui pakej itu, IKS akan mendapat membuat iklan bernilai RM30,000 di platform televisyen dan digital TV AlHijrah secara percuma.

Pakej Stimulus IKS itu juga antara inisiatif TV AlHijrah di bawah gerakan #MusaadahCOVID19 yang diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam membantu kelompok terjejas COVID-19.

Ia juga sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersama-sama kerajaan membantu kelompok terjejas akibat COVID-19, termasuk IKS. – AlHijrah Online

Laporan visual/artikel oleh Zaim Zamani. Laporan tambahan/suntingan Syed Azwan Syed Ali.

Leave a Reply