TH TERUS KOMITED LAKSANA PERANAN

Last Updated on

LEMBAGA Tabung Haji (TH) yang berpengalaman menguruskan lebih sejuta jemaah haji sejak penubuhannya 56 tahun lalu terus komited melaksanakan peranannya meskipun berdepan cabaran berbeza setiap tahun.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman Mufadhal berkata, situasi yang dialami jemaah dan para petugas tidak sama setiap musim haji menjadikannya sebagai antara cabaran terbesar dalam aspek operasi pengurusan haji itu sendiri.

Menurutnya, faktor latar belakang jemaah yang pelbagai memerlukan TH lebih cekap mengendalikan pengurusan apatah lagi beroperasi di negara luar.

“Daripada 30,200 jemaah setiap tahun, kira-kira 40 peratus berusia 60 tahun ke atas. Malah tahun ini ada jemaah kita yang berusia lebih 100 tahun. Golongan warga emas ini ada yang baru pertama kali ke luar negara, ada yang buta huruf termasuk mengalami masalah kesihatan dan sebagainya.

“Hanya lapan petugas mengendalikan 3,100 jemaah bagi satu-satu maktab. TH berdepan kekangan kerana visa petugas yang terhad. Jadi walaupun tidak cukup petugas berbanding dengan pelbagai perkhidmatan yang disediakan, TH tetap memberi perkhidmatan dan layanan terbaik,” katanya di sini baru-baru ini.


Beliau berkata, pengalaman dan cabaran berbeza yang dilalui setiap tahun memandu TH untuk meningkatkan mutu perkhidmatan haji berdasarkan prosedur operasi di bawah pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO.

“Secara keseluruhan 60 peratus daripada petugas haji adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman manakala 40 peratus lagi adalah baru dan gerak kerja para petugas akan berpandukan ISO yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, 25 prosedur induk digariskan meliputi pengurusan Operasi Haji di tanah air dan di Tanah Suci.

“Persiapan yang penting di tanah air termasuk menyediakan kursus-kursus asas, intensif dan Perdana Haji yang dilengkapkan dengan buku-buku panduan dan sesi praktikal supaya jemaah lebih bersedia dan mendapat gambaran jelas untuk melakukan ibadah haji.

“Setiap kali selepas tamat musim haji juga kita akan laksanakan post-mortem untuk kita kenal pasti penambahbaikan yang boleh diambil tindakan.

Syed Saleh berkata, empat perkara dalam aspek kemampuan itu adalah keselamatan dan kesihatan diri, cukup kewangan dan dalam kuota iaitu terpilih menunaikan haji.

Katanya, jemaah perlu memastikan mereka cukup syarat dan memenuhi keperluan khususnya melibatkan kesihatan dan kewangan.

“TH akan menyediakan keperluan jemaah dari segi penginapan, pengangkutan, makan minum, perubatan dan kebajikan dengan memastikan persediaan mengikut spesifikasi yang sepatutnya.

“Daripada aspek kesihatan, setiap tahun seramai kira-kira 260 petugas kesihatan termasuk 60 pakar dan doktor perubatan akan turut serta termasuk 20 ambulans disediakan,” katanya.

Menurutnya, turut disediakan ialah kemudahan klinik dengan pasukan perubatan yang beroperasi di setiap hotel jemaah dan ada hospital di Madinah dan Makkah dengan sejumlah 277 katil pesakit.

“Nisbah semua kemudahan perubatan yang disediakan ini dengan jumlah jemaah haji Malaysia adalah jauh lebih besar jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

“Kita juga sediakan pembimbing di hospital bagi memastikan ibadat jemaah terjaga walaupun dalam keadaan sakit,” katanya.

Syed Saleh berkata, selain petugas kesihatan, terdapat kira-kira 360 petugas TH yang menjaga kebajikan jemaah di Tanah Suci dengan dibantu hampir 300 petugas ambilan tempatan.

Sementara itu, katanya, seramai 1,000 petugas termasuk kakitangan daripada pelbagai agensi berkhidmat sepanjang musim haji di tanah air.

Kejayaan pengurusan TH dalam mengendalikan jemaah haji terbukti apabila TH mendapat pengiktirafan dan kepujian daripada kerajaan Arab Saudi sendiri ketika pertemuan antara pemimpin dua negara.

Syed Saleh berkata, penubuhan TH sendiri telah menjadi satu kejayaan besar kerana model agensi seperti TH tiada di negara lain sekali gus membezakan pengurusan haji Malaysia dengan negara luar.

“Di negara lain, pengurusan haji berada bawah kementerian agama berbanding di negara kita ada TH yang diberi tanggungjawab sepenuhnya menjaga urusan haji negara. Dengan aktiviti tabungan untuk bakal jemaah menyimpan wang mereka, ini juga dapat menggembleng kewangan umat Islam dan menjana pendapatan bagi menampung sebahagian operasi haji.

“Dalam bulan ini sahaja ada empat negara yang datang untuk mempelajari model pengurusan TH, begitu juga sebaliknya,” kata beliau.

Setiap tahun TH membelanjakan lebih RM300 juta bagi membiayai sebahagian kos langsung operasi haji melalui Bantuan Haji dan tambahan kira-kira RM70 juta bagi kos operasi tidak langsung demi kebajikan jemaah. — SINAR HARIAN

Leave a Reply