AS BIDAS SIASATAN ICC MENGENAI JENAYAH PERANG ISRAEL

ANKARA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) hari ini membantah siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap dakwaan jenayah perang dilakukan Israel di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Gaza.

“Kami membantah keras tindakan ini atau sebarang tindakan yang menyasarkan Israel secara tidak adil,” kata Mike Pompeo dalam kenyataan rasminya yang dipetik agensi berita Anadolu.

“Dengan mengambil langkah ini, pihak pendakwa mengiktiraf bahawa ada persoalan undang-undang yang serius mengenai kuasa mahkamah untuk meneruskan siasatan,” katanya.

Diplomat AS itu menegaskan Washington tidak percaya bahawa Palestin boleh dianggap sebagai “negara berdaulat”, maka ia tidak layak “mendapat keahlian penuh atau menyertai organisasi antarabangsa atau entiti atau persidangan, termasuk ICC”.

“AS tetap kekal jelas, tegas dan konsisten dalam mencapai keamanan berpanjangan dan komprehensif antara Israel dan Palestin. Satu-satunya laluan realistik ke depan bagi menamatkan konflik adalah melalui rundingan langsung,” katanya.

ICC pada 16 Januari 2015 memulakan langkah awal siasatan berhubung dakwaan jenayah perang dilakukan Israel ke atas Palestin.

“Saya berpuas hati bahawa ada asas untuk memulakan siasatan mengenai situasi di Palestin,” kata Ketua Pendakwaraya ICC, Fatou Bensouda dalam kenyataannya pada Jumaat lalu. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply