TINGKATKAN PELABURAN DI NEGARA ISLAM: TUN MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Negara Islam yang kaya diminta supaya melabur lebih banyak lagi di negara-negara Islam yang kurang berada agar kemakmuran dan kemajuan dapat dikongsi antara mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata negara-negara Islam setakat ini didapati tidak banyak melabur di negara-negara Islam lain yang memerlukan pelaburan mereka.

“Negara-negara miskin sepatutnya menerima pelaburan asing terutamanya daripada negara-negara Islam,” kata beliau pada sidang akhbar di akhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 di sini hari ini.

Dr Mahathir menegaskan bahawa negara-negara Islam tidak menolak pelaburan daripada negara bukan Islam.

“Tetapi kita merasakan bahawa negara-negara Islam setakat ini tidak banyak melabur di negara-negara Islam lain yang memerlukan pelaburan mereka,” kata Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Sidang Kemuncak KL.

“Jadi, kami harap hasil daripada persidangan ini, banyak lagi negara Islam yang kaya akan melabur di negara-negara miskin,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan dari negara-negara Islam yang lain, misalnya, dalam pengeluaran peralatan dan kelengkapan pertahanan.

“Kita juga memerlukan aliran tunai mungkin untuk pelaburan dalam hartanah, kewangan dan banyak bidang lain di mana mereka yang mempunyai modal boleh melabur,” katanya.

Mengenai perkara lain, Perdana Menteri berkata negara-negara Islam perlu mempunyai kajian terperinci mengenai cadangan dinar emas digunakan untuk dagangan antarabangsa.

Beliau berkata ketidakstabilan dolar Amerika merupakan antara sebab gesaan untuk dinar emas digunakan.

“Hari ini, kita tersekat dengan penggunaan mata wang tunggal untuk dagangan antarabangsa iaitu dolar Amerika tetapi dolar Amerika tidak stabil. Kadang-kadang ia semakin kuat dan kadang-kadang ia lemah tetapi emas mempunyai nilai tertentu untuk semua negara dalam dunia.

“ Kita boleh memanggil mata wang kita dengan apa jua nama tetapi ia harus berkait dengan nilai emas di negara anda. Jika anda tahu nilai emas dalam negara anda dengan rakan dagangan anda, maka kita dapat hitung berapa emas digunakan dalam urusan dagangan dan dengan itu, kita boleh panggil dinar emas sebagai bayaran standard,” jelas Dr Mahathir. — BERNAMA

Leave a Reply