TIADA LAGI PREMIS JUDI, LOTERI DI KEDAH

ALOR SETAR: Bermula 1 Januari 2023, tiada lagi premis perjudian dan loteri di negeri Kedah selepas operasi mereka tamat sepenuhnya pada 31 Disember 2022 susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Justeru, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu diarah memantau dan memastikan semua premis berkenaan tidak lagi menjalankan operasi mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata operasi semua premis itu di Kedah tamat apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian pada November 2021.

“Semua penguat kuasa PBT diarah memeriksa kedai judi dan loteri untuk memastikan tidak ada yang dibuka pada 1 Januari 2023, kita mungkin tidak tahu jika ada premis judi yang masih beroperasi.

“Semua lesen mereka telah tamat tempoh pada 31 Dis dan kita tidak lagi perbaharui lesen judi ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Untuk rekod, Muhammad Sanusi mengumumkan pemberhentian kelulusan lesen premis perjudian dan mengehadkan aktiviti penjualan arak semasa Persidangan Drwan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 Nov 2021. — AlHijrah Online

Leave a Reply