CAKE MINTA KERAJAAN KEDAH PANTAU JUDI DALAM TALIAN, KURANGKAN LESEN JUALAN ARAK

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian, di samping menyuarakan harapan agar lesen penjualan minuman keras pula dapat dikurangkan.

Presidennya Mohamad Yusrizal Yusoff berkata susulan langkah menutup sepenuhnya premis perjudian dan loteri di Kedah, pihaknya juga berharap kerajaan negeri dapat memantau kegiatan perjudian dalam talian yang dipercayai akan berleluasa.

“Tahniah kepada kerajaan Kedah kerana berjaya menutup premis perjudian dan loteri selepas tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mereka. CAKE berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan lagi undang-undang terutamanya berkaitan perjudian dalam talian,” katanya.

Beliau yang ditemui ketika membuat tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Besar Alor Setar dekat sini hari ini berkata sebelum ini pihaknya banyak menerima laporan daripada penghulu dan wakil kampung berhubung kegiatan perjudian dalam talian yang berlaku di kawasan mereka.

“Selain itu persatuan juga berharap kerajaan negeri dapat mengurangkan lesen penjualan minuman keras bagi menghadkan penjualan arak yang dijual secara berleluasa di kedai-kedai biasa. Cara ini sekurang-kurangnya dapat menggurangkan kadar kemalangan kerana ada kes membabitkan pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan operasi semua premis perjudian dan loteri di Kedah tamat apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Dis 2023. — AlHijrah Online

Leave a Reply