TIGA JUTA JEMAAH BANJIRI MASJIDIL HARAM PADA MALAM 27 RAMADAN

Malam 27 Ramadan adalah malam yang penuh emosi di Masjidil Haram apabila jemaah mempergiat ibadah seperti qiamullail, membaca Al-Quran, zikrullah, munajat dan doa –fotoAFP

KUALA LUMPUR: Meniti malam-malam akhir Ramadan, sejarah tercipta di Masjidil Haram apabila kira-kira tiga juta jemaah berada di kompleks masjid suci itu untuk beribadah pada malam ke 27 Ramadan.

Memetik laporan media Arab Saudi, malam 27 Ramadan adalah malam yang penuh emosi di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, apabila jemaah mempergiat ibadah seperti qiamullail, membaca Al-Quran, zikrullah, munajat dan doa.

Lautan jemaah beribadah hingga ke kawasan luar Masjidil Haram, termasuk di jalan-jalan raya berhampiran kawasan hotel dan kawasan terbuka lain.

Presiden Umum bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci merangkap Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman As-Sudais berkata beliau sendiri memantau pergerakan jemaah dan memastikan pengurusannya berjalan lancar.

“Alhamdulillah, perancangan untuk malam ke 27 Ramadan telah terlaksana dengan baik berdasarkan apa yang dihasratkan iaitu menyediakan keselesaan kepada para jemaah termasuk pemantauan keselamatan yang tinggi. Ia bagi menjamin keselesaan kepada semua yang hadir ke Masjidil Haram,” katanya.

Tambahnya, kira-kira 12,000 kakitangan Masjidil Haram dikerah mengurus jutaan jemaah dan pada masa sama menggerakkan ribuan petugas lain bagi kerja-kerja pembersihan dan proses nyahkuman.

Di Madinah pula, dianggarkan hampir 1 juta jemaah melaksanakan ibadah tarawih di Masjid Nabawi dalam keadaan terkawal dengan kapasiti yang penuh.

Timbalan Presiden Agung bagi Eksekutif dan Hal Ehwal Lapangan di Masjid Nabawi, Abdulaziz Bin Ali Al–Ayoubi, mengesahkan bahawa agensi perkhidmatan dan lapangan telah mempersiapkan Masjid Nabawi dengan persediaan selengkapnya.

Ia termasuk menyediakan semua perkhidmatan terbaik dan berkualiti untuk pelawat dan jemaah. –AlHijrah Online

Leave a Reply