KUALA LUMPUR: Tiga buah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) tidak dapat meneruskan pelayaran menuju ke Perairan Gaza.
Ketua Delegasi Sumud Nusantara Muhammad Nadir al-Nuri Kamaruzaman berkata, kapal X1, Essia dan Nusantara akan kembali ke Itali untuk dibaiki.
“Kapal tersebut mungkin akan mengikuti fasa kedua pelayaran GSF.
“Jong Melayu sudah hampir tiba di Greece tetapi mungkin terpaksa berteduh sementara menunggu puting beliung lalu. Ombak setinggi 2 meter sekarang,” kata Nadir menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Muhammad Nadir menafikan dakwaan terdapat beberapa kapal GSF telah menarik diri dalam misi tersebut.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby berkata, terdapat beberapa kapten dan krew kapal yang menarik diri namun Sekretariat Flotilla telah menggantikan kapten dan krew yang terlatih.—AlHijrah Online