TRELER FILEM ‘PULAU’ BEZA DARIPADA BAHAN PENAPISAN

PUTRAJAYA: Lembaga Penapis Filem (LPF) mendapati terdapat perbezaan antara kandungan treler filem ‘Pulau’ yang dikongsikan di media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.

Mengambil maklum isu berbangkit setelah promosi filem itu dibuat melalui perkongsian poster dan sedutan treler filem menerusi media sosial, LPF dalam satu kenyataan hari ini juga memaklumkan bahawa kandungan treler yang ditayang secara dalam talian adalah di luar bidang kuasa LPF.

LPF yang terletak dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan tugas berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620] yang menetapkan fungsi penapisan filem dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia, kecuali melalui Internet, katanya.

LPF berkata ia akan meneliti dan memberikan perhatian khusus berpandukan kepada Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) KDN 2010 yang merangkumi aspek-aspek seperti keselamatan dan ketenteraman awam; keagamaan; sosiobudaya; serta ketertiban dan ketatasusilaan; sebelum mengeluarkan sesuatu keputusan ke atas penapisan kandungan dan bahan publisiti filem.

“LPF sentiasa peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat Malaysia dan melaksanakan penapisan filem sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan,” katanya.

LPF berkata filem Pulau adalah merupakan sebuah filem seram dan bukan filem porno seperti yang digembar-gemburkan.

Filem Pulau yang bakal ditayangkan pada Mac depan dikecam terutamanya di media sosial oleh warganet yang mempertikaikan kelulusan karya tersebut kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil turut berpandangan treler filem Pulau tidak sesuai untuk ditayangkan.–AlHijrah Online

Leave a Reply