TV ALHIJRAH SEMAKIN SEGAR, RANCAK MENERUSI PELBAGAI PROGRAM BAHARU – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Usaha berterusan TV Alhijrah menyediakan kandungan baharu yang sesuai dengan keadaan semasa mendapat penghargaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ujar beliau, stesen televisyen Islam itu semakin segar dan rancak dalam menerbitkan program-program baharu meski pun dalam suasana COVID-19.

“Saya nak ucap lafaz alhamdulillah. Saya lihat satu kesegaran yang mekar dan baru. Ada berlaku satu transformasi.

“Dalam suasana COVID-19 ini, nampak kerancakannya dengan rancangan-rancangan yang sentiasa di mengikut peredaran masa dan dimekarkan,” katanya ketika muncul dalam program bual bicara Assalamualaikum bagi melancarkan tiga program baharu TV Alhijrah menerusi program ‘Musa’adah COVID-19: Kami Peduli Anda’.

Tiga program baharu berkonsepkan bantuan, keprihatinan dan ketuhanan itu ialah My H.A.U.S, Dengar, dan Hijrah Berselawat.

Ia diterbitkan bukan sahaja untuk membantu mereka yang terkesan dari sudut kewangan, tetapi juga menghulurkan sumbangan menerusi terapi rohani dan keagamaan.

My H.A.U.S yang disiarkan setiap Isnin, 9 malam bermula 25 Januari 2021 adalah sebuah program realiti ubah suai rumah golongan asnaf yang memerlukan perhatian khusus bagi mendapatkan tempat kediaman selesa dan boleh diduduki seisi keluarga.

Dengar pula merupakan program separa realiti yang mencari individu yang kisahnya tular akibat kesusahan hidup dan akan dibantu agensi kerajaan yang berkaitan.

Program yang bertujuan untuk mendidik sikap prihatin itu dijangka akan mula disiarkan pada penghujung Januari 2021.

Sementara itu Hijrah Berselawat pula antara usaha TV Alhijrah menyediakan rancangan berkonsepkan sumbangan menerusi terapi rohani dan keagamaan.

Hijrah Berselawat akan disiarkan pada Khamis terakhir setiap bulan, jam 9 malam, bermula 31 Disember 2020.

Menurut Zulkifli penerbitan ketiga-tiga program itu dilihat bukan sahaja untuk hiburan semata-mata tetapi membantu mereka yang memerlukan khususnya ketika waktu pandemik ini.

“Saya doa kepada Allah SWT supaya tiga-tiga program ini menjadi program yang Allah makbulkan bahkan mendapat sambutan yang baik kepada khalayak masyarakat dan saya ajak semua pihak untuk sama-sama menyumbang kepada TV Alhijrah dan Tabung Musa’adah untuk menggiatkan lagi bantuan kepada khalayak yang memerlukan,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply