UNDANG-UNDANG ISLAM TIDAK PECAH BELAH MASYARAKAT MAJMUK – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyangkal dakwaan kononnya penguatkuasaan undang-undang Islam akan memecah-belahkan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Memetik Bernama, Zulkifli menjelaskan andai rakyat pelbagai kaum dan agama mampu memahami serta menghayati Perlembagaan Persekutuan serta sistem perundangan Islam di Malaysia, kerajaan yakin perundangan Islam bukanlah suatu isu yang sensitif.
“Undang-undang Islam itu sendiri, sifatnya inklusif dan progresif yang sesuai dengan peredaran masa.”
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Kata Zulkifli, prinsip-prinsip perundangan Islam juga bersifat menyantuni semua kaum dan golongan masyarakat sama ada orang Islam dan orang bukan Islam.
Beliau berucap demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara pada Selasa.
Berbicara tentang hukuman dalam Islam, Zulkifli berkata ia lebih bersifat bersifat mendidik, bukan untuk menghukum semata-mata.
Sehubungan itu adalah tidak berasas sama sekali dakwaan kononnya undang-undang Islam boleh memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk.
Sementara itu Zulkifli mengakui wujud ketidakharmonian serta pertindihan antara dua sistem perundangan yang diamalkan Malaysia iaitu perundangan sivil dan syariah.
“Kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian mengharmonikan perundangan sivil dan syariah tanpa prejudis.”
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Apa yang penting, Zulkifli berkata perkara paling utama adalah kedua-dua sistem perundangan ini bertujuan untuk mencari, memberi dan mencapai keadilan.
Apabila matlamat itu jelas, jelas Zulkifli maka usaha mengharmonikan kedua-dua sistem perundangan berkenaan akan menjadi lebih mudah.
Katanya lagi antara usaha yang sedang giat dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam usaha memperkasakan mahkamah syariah termasuklah syor peningkatan peringkat mahkamah syariah, pindaan undang-undang substantif dan undang-undang prosedur. – AlHijrah Online