VIRUS OMICRON: KEPUTUSAN MALAYSIA HANTAR JEMAAH UMRAH BERGANTUNG ARAB SAUDI

KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysia menghantar jemaah umrah bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi selepas negara tersebut mengesahkan kes pertama penularan COVID-19 varian Omicron.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, ibadah umrah setakat ini masih dibenarkan oleh kerajaan dengan mematuhi peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

Idris juga mengesahkan tiada jemaah umrah Malaysia yang dijangkiti COVID-19 semasa mengerjakan ibadah umrah.

“Kita berdoa kepada Allah SWT agar wabak itu tidak melarat dan itu harapan kita. Setakat hari ini, kita ikut peraturan daripada kerajaan arab Saudi dan mereka masih membenarkan lagi.

“Kita harapkan wabak tidak merebak dan terkawal serta kita dapat mengerjakan umrah,” katanya semasa diminta mengulas berkenaan Arab Saudi mengesahkan kes pertama penularan COVID-19 varian Omicron.

Terdahulu, Arab Saudi pada 1 Disember mengesahkan kes pertama jangkitan COVID-19 varian Omicron membabitkan seorang rakyatnya.

Memetik sumber Kementerian Kesihatan Arab Saudi, mangsa baru pulang dari sebuah negara di utara Afrika.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Zakat Korporat 2021 di Masjid Negara, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, PPZ-MAIWP telah menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM12,035,334.43 daripada 18 syarikat korporat antaranya Alhijrah Media Corporation.—AlHijrah Online

Leave a Reply