WAKAF AIR DILANCARKAN, SINERGI KASA DAN YWM

PUTRAJAYA: Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia (Wakaf Air) dilancarkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan bahawa projek tersebut adalah bagi menyediakan sumber pembiayaan alternatif perkhidmatan air secara mudah di seluruh Malaysia melalui instrumen wakaf.

Katanya, Wakaf Air juga merupakan salah satu strategi pembiayaan inovatif untuk menyediakan perkhidmatan air berskala kecil khususnya di luar bandar dan kawasan pedalaman yang tidak dapat dicapai oleh operator air.

“Wakaf Air sudah menerima lebih RM 7 juta sumbangan daripada orang awam dan beberapa pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Setakat ini sebanyak 30 permohonan diterima di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang bakal dilaksanakan awal Januari tahun depan,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Wakaf Air.

Turut hadir, Pengerusi YWM merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Timbalan Menteri KASA, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, serta Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Ruslan Said.

Pada majlis itu, Memorandum Persefahaman (MoU) antara KASA dan YWM turut dimeterai. KASA diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Zaini Ujang manakala YWM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Madya Dr Amir Shaharuddin.

Projek Wakaf Air ini bertujuan untuk membiayai projek perkhidmatan air bernilai di bawah RM50,000 yang merangkumi penggalian perigi, sambungan penyelenggaraan dan pembelian alat ganti.

Tuan Ibrahim berkata, pemilihan projek dan pemantauan pelaksanaan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Induk yang diadakan secara kolaborasi membabitkan Jawatankuasa Teknikal KASA, YWM, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensi berkaitan.

Menurutnya, sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak sama ada orang ramai, sektor swasta dan organisasi akan disalurkan kepada Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air.

Katanya, bagi memudahkan urusan wakaf, orang ramai boleh menyumbang secara dalam talian dengan hanya RM10.

Beliau turut menegaskan penubuhan Wakaf Air ini bukan bermaksud kerajaan dan operator air melepaskan tanggungjawab kepada orang awam untuk membina serta menyelenggara infrastruktur air di negara ini.

“Wakaf Air adalah instrumen pembiayaan alternatif dan pelengkap kepada usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan air yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply