WARGA EMAS DITAHAN TERLIBAT PERSETUBUHAN LUAR TABII DENGAN KAMBING

HULU SELANGOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek berusia 60 tahun yang disyaki terlibat kes persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina sehingga haiwan itu mati di Kampung Sungai Buaya, Serendah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Arsad Kamaruddin berkata kejadian kira-kira 1.30 petang itu disedari seorang wanita berusia 45 tahun selepas mendengar bunyi mengembek dari kandang kambingnya yang terletak di belakang rumah.

“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki yang dikenalinya dalam keadaan separuh bogel bangun dari sebelah kambing milik pengadu.

“Pengadu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati seekor kambing betina telah mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia kemudian membuat satu laporan polis di Balai Polis Serendah, pada jam 6.24 petang semalam.

Hasil maklumat yang diperoleh, polis telah berjaya membuat tangkapan keatas seorang lelaki Melayu di kawasan semak Jalan Tengah, Kampung Sungai Buaya, Serendah pada jam 10.50 pagi hari ini.

“Suspek berumur 60 tahun dan semakan dapati saspek mempunyai rekod lampau yang membabitkan kes jenayah.

“Suspek akan direman esok di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 377 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” katanya.

Arsad berkata dengan tertangkapnya suspek, pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes tersebut. — AlHijrah Online

Leave a Reply