YAMAN: PERANG DALAM PERANG, KEMISKINAN DALAM KEMISKINAN


Adilah Mohamed Thabit dari Makbana, Taiz, kelihatan seperti wanita tipikal lain di Yaman yang memakai abaya dengan niqab dan hanya menampakkan matanya kepada mana-mana lelaki yang memandang.
Di sebalik niqab yang menyembunyikan wajah Adilah, tiada pihak yang dapat menduga keadaan emosi ibu tunggal sepuluh anak itu, yang menjadi mangsa konflik perang saudara di Yaman sejak Mac 2015.
Malah sekali pandang, adalah mustahil untuk seseorang meneka umur sebenar ibu tunggal itu sehinggalah Adilah memberitahu usia anak sulungnya berumur 22 tahun dan anak bongsu berusia tiga tahun.
Barangkali usia Adilah sekitar 40-an atau akhir 30-an. Agakkan penulis yang menemui Adilah di AlBuraiqa, Aden berdasarkan budaya masyarakat Yaman di mana wanita berkahwin pada usia muda belasan tahun.
Adilah ini bukan hanya menjadi mangsa perang, tetapi dia juga mangsa keganasan rumah tangga yang terpaksa mengharungi kehidupan bersendirian bersama anak-anaknya selepas ditinggalkan suami.
“Tanah yang kami duduk ini bukan tanah kami, (anak-anak saya) duduk macam anak-anak yatim tiada bapa. Tempat tinggal kami memang teruk seperti mana yang kau tengok,” katanya kepada penulis di sini.
Penulis menemui Adilah di kawasan penempatan yang tidak siap di Alfarisi, yang terletak di kawasan AlBuraiqa, di wilayah selatan Aden yang kini dikuasai tentera pemisah Majlis Peralihan Selatan (STC).
Ketika itu penulis bersama-sama tim sukarelawan Mercy Malaysia sedang melakukan tinjauan dari kem ke kem pelarian dalaman (IDP) di Aden bagi mengenalpasti kelompok IDP yang memerlukan bantuan di Yaman.
Berbeza dengan kem pelarian lain, termasuk kem pelarian IDP Alshaab di AlBuraiqa yang dikelolakan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), Alfarisi adalah penempatan setinggan.

Alfarisi adalah kawasan penempatan dengan bangunan yang tidak siap milik persendirian, bukannya tanah milik kerajaan seperti majoriti tapak kem pelarian IDP, yang terletak bersebelahan jalan utama menuju ke bandar pelabuhan Aden.
Ia terletak kira-kira enam jam perjalanan dari Taiz, kampung halaman Adilah yang sejak 2015 menjadi antara lokasi panas pertempuran antara kumpulan Houthi dengan tentera pakatan pro-kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi.
Tiga tahun lalu, Adilah dan keluarganya antara penduduk Taiz yang melarikan diri dari perang ke bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman untuk berlindung. Sejak itu, mereka menjadi pelarian dalaman terjejas perang.
Berdasarkan laporan UNHCR pada Julai tahun ini, seramai 3.65 juta penduduk Yaman hilang tempãt tinggal dan menjadi pelarian dalaman dengan 80 peratusnya darinya menjadi pelarian IDP melebihi tempoh setahun. Adilah adalah salah seorang darinya.
Peperangan di Taiz bermula pada April 2015 iaitu kira-kira sebulan selepas tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan udara dan sekatan ekonomi ke atas kumpulan Houthi yang menguasai wilayah utara Yaman sejak 2014.
Media melaporkan campurtangan tentera pakatan itu bertujuan mengembalikan pemerintahan Yaman kepada kerajaan sah diketuai Presiden Abdrabbouh Mansour Hadi yang kini hidup dalam buangan di Arab Saudi sejak Disember 2017.
Sehingga kini, tiada tanda-tanda konflik di Yaman akan berakhir dengan negara Arab termiskin itu kini terpecah kepada dua iaitu wilayah utara berpusat di Sana’a dikuasai Houthi dan wilayah selatan berpusat di Aden dikuasai STC dan tentera pakatan pro-kerajaan sah Yaman.
Ketika konflik perang saudara Yaman antara Houthi dan kerajaan sah Yaman yang masih berterusan, Taiz yang juga kampung halaman Adilah masih disifatkan sebagai kawasan panas.
Adik Adilah yang turut melarikan diri ke Aden, Shauki, 33, turut berlindung di penempatan pelarian Alfarisi bersama-sama dengan isteri dan enam orang anaknya yang berusia antara empat bulan dan 11 tahun.
“Kami memerlukan bantuan kewangan, mana-mana pertubuhan yang masuk ke tempat kami berilah bantuan. Lihatlah keadaan kami yang teruk. Biasanya tempat lain dapat bantuan, tapi kami tidak,” kata Shauki.

Sebelum menemui Adilah, penulis sempat meninjau keadaan rumah Shauki yang hanya berbumbungkan plastik tarpaulin. Dengan ukuran tiga meter lebar dan lima meter panjang, rumah konkrit yang tidak siap itu menjadi tempat berlindung keluarga Shauki sejak tiga tahun lalu.
Pun begitu rumah Adilah dengan keluasan hampir sama jauh lebih daif. Ia hanya bertiangkan kayu, berdinding dan berbumbungkan zink dengan bau hancing dan hamis menusuk hidung penulis saat masuk ke rumah ibu tunggal itu.
Sepertimana pelarian lain, keluarga Shauki dan Adilah tidak mempunyai bekalan air dan tandas, selain bekalan elektrik hanya bergantung dengan wayar elektrik yang ditarik daripada rumah jiran yang merupakan penduduk asal kawasan itu.
“Motosikal saya rosak, sekarang terpaksa duduk di rumah,” kata Shauki sugul selepas motosikal yang menjadi sumber pendapatan utama keluarganya rosak. Penulis mendapati kebanyakan penduduk di Alfarisi menggunakan motosikal untuk mencari rezeki dengan menghantar barang atau sebagai “teksi motosikal”.
Anak saudara Shauki yang juga anak sulung Adilah, Usamah, 22, memberitahu penulis yang beliau menyara kehidupan keluarganya dengan bekerja sebagai penghantar barang menggunakan motosikal miliknya.
“Saya boleh dapat hingga 2,000 riyal (RM14) sehari,” kata Usamah yang yang sudah berkahwin dan tinggal berdekatan rumah ibunya di Alfarisi. Difahamkan, harga petrol di Yaman adalah sekitar 7,000 riyal atau RM49 bagi setiap tong 20 liter.

Berbeza dengan pelarian di kem IDP yang mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan asing, majoriti pelarian yang menetap di kawasan penempatan lain sering terpinggir daripada bantuan.
Kebanyakan badan bantuan terlepas pandang kelompok ini yang disifatkan boleh menyara kehidupan mereka sendiri ketika hakikat sebenar majoriti rakyat Yaman yang memang terbelenggu dengan kemiskinan.
“Purata penduduk Yaman hidup dengan gaji harian bawah USD4,” kata Tomna Obaid dari Field Medical Foundation (FMF), badan bukan kerajaan yang membantu kelompok terjejas perang di negara Arab termiskin itu.
Lebih seminggu di wilayah bergolak ini, penulis dapat menyimpulkan keadaan penduduk Yaman, termasuk pelarian terjejas perang, yang semakin parah dengan ujian peperangan, kebuluran dan penularan wabak kolera.
Penduduk Yaman sebenarnya dalam belenggu “kemiskinan dalam kemiskinan” sejak sekian lama, malah kejatuhan Presiden Ali Abdullah Saleh ketika “Kebangkitan Arab” pada 2011 adalah kerana ketidakpuasan majoriti rakyat Yaman dengan korupsi, harga petrol tinggi dan masalah kemiskinan.
Malah puak Houthi ketika mengambil alih wilayah utara Yaman pada 2014 dengan meminggirkan pengganti Ali Abdullah Saleh, Abdrabbouh Mansour Hadi menjadikan korupsi dan menuntut pembentukan kerajaan baru sebagai alasan di atas tindakan kumpulan terbabit mengambil alih kuasa di Sana’a.
Hakikatnya, konflik di Yaman menjadi semakin kompleks dengan pembabitan negara kuasa asing yang dirumitkan dengan tuntutan STC yang menuntut pemisahan antara wilayah Yaman utara dan selatan seperti sebelum negara itu menjadi republik pada 1990.
Keluarga Adilah dan Shauki antara jutaan warga Yaman yang menjadi mangsa kepada konflik perang saudara sejak lima tahun lalu yang disifatkan sebagai krisis kemanusiaan terburuk di abad ini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pelarian dalaman di Yaman bukan hanya kehilangan tempat tinggal, tetapi mereka hilang segalanya-galanya. Hakikat ini dijelaskan Adilah dalam temubual dengan penulis di kawasan setinggan Alfarisi di AlBuraiqa, Aden.
“Kami orang susah lari dari perang,” kata Adilah menjelaskan yang beliau terpaksa berjalan kaki belasan kilometer ke kawasan bandar Aden, keluar ke jalanan setiap hari untuk mengemis bagi menampung hidup. — AlHijrah Online
Penulis adalah Editor Berita & Penerbit AlHijrah Media Corporation yang kini berada di wilayah Aden, Yaman.
