ICC DIDESAK SIASAT JENAYAH ISRAEL DI GAZA

MADRID: Sekumpulan aktivis yang ingin menghentikan sekatan Israel di Semenanjung Gaza mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague agar menyiasat jenayah rejim itu di wilayah-wilayah Palestin yang didudukinya, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Sepucuk surat yang ditandatangani aktivis sosial dan sivil Freedom Flotilla Coalition (FFC) di pelbagai negara akan diserah kepada Ketua Pendakwaan ICC Fatou Bensouda pada Isnin depan (10 Dis), yang merupakan Hari Antarabangsa Hak-Hak Asasi Manusia, menurut kenyataan Rumbo a Gaza, cawangan gabungan badan bukan kerajaan itu.

Kumpulan itu menegaskan bahawa permintaan untuk siasatan telah tersekat di peringkat “analisis awal” mahkamah tersebut selama lima tahun.

Sekatan Israel selama 13 tahun di Semenanjung Gaza telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan pergerakan bebas keluar masuk dua juta penduduknya selain menyekat kemasukan banyak kemudahan asas.

Sehingga akhir 2016, sejumlah 1.3 juta rakyat Gaza bergantung kepada bantuan antarabangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup manakala hampir separuh keluarga di Gaza ketiadaan akses untuk mendapatkan bekalan makanan, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan.

Setiap tahun selama lapan tahun sehingga kini, FFC telah melancarkan satu kempen baharu untuk mencabar sekatan Israel di enklaf pesisir Palestin.

Pada 31 Mei 2010, komando Israel telah membunuh sembilan aktivis Turki di atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa.

Kapal itu, yang merupakan sebahagian daripada konvoi FFC dalam perjalanan ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan.

Seorang lagi aktivis meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Minggu lepas, pejabat pendakwaan ICC menolak permintaan untuk melancarkan siasatan ke atas serangan itu dan menutup fail tersebut buat kali ketiga. — BERNAMA

Leave a Reply