ZULKIFLI LUAH RASA KECEWA KEPADA DUTA PERANCIS SUSULAN KARIKATUR NABI MUHAMMAD OLEH CHARLIE HEBDO

KUALA LUMPUR: Susulan karikatur Nabi Muhammad SAW yang diterbitkan majalah satira Charlie Hebdo di Perancis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menulis sepucuk surat kepada Duta Perancis ke Malaysia.

Dalam suratnya itu, Zulkifli meluahkan rasa kecewa terhadap insiden terbabit dan memaklumkan apa yang disampaikannya mewakili suara masyarakat Islam di negara ini.

“Saya percaya kita berpendirian sama, tindakan ekstremisme dan keganasan tidak mewakili mana-mana agama di dunia ini.

“Kita sebagai pemimpin masyarakat perlu menentang tindakan sedemikian khususnya dengan meyakinkan anak muda yang berpotensi melakukan perkara sedemikian agar dapat menjauhkan diri dari tindakan itu dan meluahkan tentangan mereka dengan cara yang aman dan damai,” katanya Zulkifli dalam suratnya.

Tambah Zulkifli kekecewaan Malaysia terhadap isu berkenaan senada dengan Imam Besar Al-Azhar yang juga Pengerusi Majlis Hukama’ Al-Muslimin, Shaykh Dr Ahmed Al-Tayyib.

Dalam tulisannya, Zulkifli turut mengajak Duta Perancis mengenali lebih dekat Nabi Muhammad SAW lebih-lebih lagi mengikut kalendar Islam, 18 Oktober hingga 17 November merupakan bulan Rabiul Awal yang juga bulan kelahiran baginda.

“Bersempena dengan bulan Rabiul Awal yang juga bulan kelahiran Rasulullah SAW, saya hadiahkan beliau sebuah buku bertajuk Al-Shama’il Al-Muhammadiyyah (The Sublime Qualities of the Prophet Muhammad ﷺ) terjemahan Bahasa Inggeris,” kata Zulkifli menerusi Facebook rasminya.

Tambah beliau Perancis adalah antara negara Eropah pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957.

Oleh itu beliau berharap peristiwa ini memberi pengertian yang besar dalam memaknakan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Perancis.

Charlie Hebdo sebelum ini dilaporkan mahu menerbitkan semula kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW, yang menjadi punca serangan daripada penembak beragama Islam terhadap akhbar berkenaan pada 2015.

Penerbitan karikatur itu juga menandakan bermulanya perbicaraan pasangan adik beradik, Said dan Cherif Kouachi yang melakukan serangan bersenjata di pejabat akhbar itu di Paris. — AlHijrah Online

Leave a Reply