ZULKIFLI TURUN PADANG BANTU PELAJAR IPT, SERU HENTI BERTELAGAH DAN POSITIF MENYUMBANG

Datuk Dr Zulkfili Mohamad Al-Bakri menyerahkan bantuan #MusaadahKhasSiswa sebanyak RM15,000 kepada wakil-wakil Kolej Kediaman di UiTM Shah Alam hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Senator Datuk Dr Zulkfili Mohamad Al-Bakri memaklumkan beliau akan turun ke beberapa buah universiti hari ini untuk meninjau dan menyampaikan bantuan yang diperlukan pelajar.

Beliau turut menyeru kepada semua pihak untuk henti bertelagah dan terus positif membantu mereka yang memerlukan.

Tegasnya, beliau akan turut meminta penyelarasan dibuat antara agensi di bawah kementeriannya bagi menyalur bantuan yang perlu.

“Kami akan bantu sehabis baik, sekadar termampu, atas kapasiti dan bidang kuasa yang ada.

“Saya yakin, semua pihak sedang berusaha atas kapasiti masing-masing untuk meringankan beban siswa yang memerlukan bantuan.

“Saya doakan semoga semua bantuan dapat dimanfaatkan degan baik. Dunia begitu kecil untuk kita bertelagah. Abaikan provokasi dan terus positif menyumbang,” kata Zulkifli menerusi akaun Twitter rasminya.

Datuk Dr Zulkfili Mohamad Al-Bakri ketika lawatan di UiTM Shah Alam hari ini.

Ujar Zulkifli Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) minggu lalu juga telah memperuntukkan lebih RM2 juta untuk membantu bayaran yuran pelajar B40 di enam buah Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga katanya telah mengedarkan borang permohonan bantuan semalam dan menerima 3000 permohonan untuk penilaian.

Selain itu, jelas Zulkifli Tabung Musa’adah COVID-19 kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga siap sedia untuk membantu.

Tambahnya bantuan makanan Ready To Eat (RTE) oleh YAPEIM dan JAWI Foodbank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga sedia untuk disampaikan dan dibekalkan.

Sebelum ini ramai pelajar memaklumkan berdepan kesulitan susulan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada semua IPT untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar baru dan lama ke kampus masing-masing.

Cadangan itu dibuat KPT demi kesejahteraan semua pihak susulan peningkatan kes COVID-19. — AlHijrah Online.

Leave a Reply