DR ZULKIFLI: SOP DI MASJID DAN SURAU AKAN DIPERKEMASKAN

KUALA KUBU BHARU: Prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau akan diperkemaskan, susulan peningkatan drastik kes positif COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan demikian susulan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi.

“Kita akan memperkemaskan SOP dan kepatuhannya, walaupun tidak dibincangkan mengenai SOP baharu di masjid dan surau dalam perbincangan pagi tadi,” katanya.

Dr Zulkifli ditemui semasa menghadiri majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ sesi 2020 serta majlis Penganugerahan Darul Quran Jakim hari ini.

Sementara itu menerusi ciapan di Twitternya, Dr Zulkifli berkata semua keputusan yang dibuat akan bergantung kepada keadaan semasa, mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa agama negeri. —AlHijrah Online

Leave a Reply