10 JUTA TUNAI UMRAH SEJAK PELANCARAN PROSEDUR KESELAMATAN

Sumber Gambar: AFP

JEDDAH: Lebih 10 juta jemaah telah menunaikan umrah sejak 4 Oktober tahun lalu susulan pelancaran prosedur ‘umrah selamat’ selain amalan harian dan ibadah secara biasa dibenarkan secara beransur-ansur di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Menurut Kementerian Haji dan Umrah, lebih 12,000 visa dikeluarkan sejak negara itu menerima kedatangan jemaah dari luar negara pada 10 Ogos lalu.

Kementerian tersebut turut memberi jaminan akan terus berusaha untuk melindungi kesihatan dan keselamatan jemaah dan pengunjung masjid.

Difahamkan, permit umrah akan dikeluarkan melalui aplikasi Tawakkalna dan pihak berkuasa kesihatan negara itu meluluskan pemberian vaksin untuk individu berusia 12 tahun ke atas.

Memetik laporan Saudi Gazette, Arab Saudi menyasarkan 3.5 juta jemaah dan pelawat mengunjungi dua masjid suci dalam tempoh sebulan.

“Kapasiti ketika ini adalah 70,000 jemaah sehari,” kata Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Abdulfattah Mashat dalam kenyataannya.

Jelasnya, syarat jemaah umrah yang ingin mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi perlu menerima vaksinasi lengkap di samping pembukaan semula jemaah dari luar negara untuk melaksanakan umrah pada 10 Ogos.

“Sistem prosedur, kawalan dan syarat untuk kedatangan jemaah termasuk sijil yang diakui mengesahkan imunisasi dengan vaksin diluluskan, dikoordinasikan dengan semua pihak berkuasa yang relevan dalam memastikan keselamatan Jemaah,” katanya lagi.

Semua pihak disarankan untuk mengikuti arahan dan mematuhi langkah pencegahan yang ditetapkan negara itu bagi mengekang penyebaran COVID-19.

Dalam pada itu, pelawat antarabangsa disaran mendaftar status vaksinasi di platform dalam talian 72 jam sebelum melakukan perjalanan ke Arab Saudi.—AlHijrah Online

Leave a Reply