10 TERBUNUH DALAM LETUPAN KERETA DI BANDAR SEMPADAN SYRIA, TURKI

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan 25 cedera ketika bom kereta meletup di bandar di sempadan Syria yang dikuasai Turki semalam, demikian menurut saksi dan penyelamat.

Agensi berita Reuters melaporkan Tel Abyad merupakan salah satu daripada dua bandar sempadan yang menyaksikan pertempuran paling sengit ketika Ankara melancarkan serangan merentasi sempadan pada 9 Oktober lalu yang menyasarkan militan Kurdish YPG di timur laut Syria.

Kumpulan YPG yang dianggap Ankara sebagai kumpulan pengganas kerana hubungannya dengan militan PKK Kurdish di tenggara Turki selama bertahun-tahun adalah sekutu Amerika Syarikat (AS) dalam pertempuran menentang Daesh. Turki memulakan operasi tentera selepas Presiden Donald Trump menarik pasukan AS keluar dari kawasan itu.

Letupan semalam menyebabkan kerosakan teruk di jalan utama di Tel Abyad dengan asap tebal ke udara kelihatan dalam video dimuat naik ke media sosial.

Syrian Observatory for Human Rights berpangkalan di Britain, berkata empat orang awam dari keluarga yang sama antara mereka terkorban akibat letupan itu, yang mana menurut pihak berkuasa tempatan didakwa penduduk didalangi YPG dan PKK.

Kementerian Pertahanan Turki juga mendakwa YPG melakukan serangan itu, yang membunuh tiga nyawa dan mencederakan 20 orang, manakala seorang jurucakap kanan Pasukan Demokratik Syria (SDF) Kurdish menuduh “tentera upahan disokong Turki” yang bertanggungjawab.

“Selepas mengusir majoriti penduduk Kurdish, merampas hampir semua kedai dan rumah di daerah Kurdish di Tel Abyad ini, tentera upahan yang disokong Turki kini cuba untuk menggantikan penduduk Kurdish yang tinggal dari rumah mereka dengan letupan secara rawak di kawasan awam,” kata Ketua Media SDF,  Mustafa Bali melalui ciapan Twitter.

Modus operasi letupan kereta sering berlaku kawasan awam yang didominasi penduduk Arab di bandar-bandar utama, terutama berhampiran sempadan Turki di bawah penguasaan pasukan yang disokong Turki.

Pasukan diketuai puak Kurdish mendakwa pejuangnya terlibat dalam kempen gerila melawan Turki, tetapi menafikan mensasarkan orang awam. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply