15 KES KEBAKARAN DIREKODKAN AKIBAT LITAR PINTAS PADA MUSIM BANJIR

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15 kes kebakaran yang berpunca daripada litar pintas direkodkan dalam tempoh lima hari banjir teruk yang melanda negeri ini mulai 19 Dis lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata kebakaran itu disebabkan oleh kerosakan barangan elektrik dan pendawaian yang terjejas akibat ditenggelami air banjir.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk yang terkesan supaya memastikan pendawaian berada dalam keadaan baik dan peralatan elektrik betul-betul kering sebelum digunakan selepas banjir.

“Memang biasa berlaku mangsa banjir apabila balik ke rumah, dalam keadaan tergesa-gesa terus buka suis tanpa periksa dulu keadaan pendawaian jika ada yang rosak dan terdapat arus elektrik mengalir.

“Begitu juga barangan elektrik yang belum betul-betul kering, jika digunakan boleh menyebabkan litar pintas yang akhirnya mencetuskan kebakaran,” katanya selepas melakukan tinjauan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Tanjung Sabtu di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Md Hilman berkata sebanyak 22 kes lemas direkodkan dari 1 Januari hingga 23 Disember tahun ini.

Menurut beliau, lima daripada kes berkenaan berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pertengahan November lepas. 

“Kita selalu mengingatkan orang ramai supaya menjauhi aktiviti air pada musim MTL kerana banyak bahayanya. Kalau nak lakukan juga aktiviti seperti menangkap ikan ambillah langkah keselamatan yang baik,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan mangsa banjir supaya berwaspada dengan ancaman binatang berbisa ketika melakukan aktiviti pembersihan rumah selepas banjir. –AlHijrah Online

Leave a Reply