17 RUMAH ATAS AIR DI SEMPORNA MUSNAH TERBAKAR

Tangkap layar video tular di media sosial.

SEMPORNA: Sekurang-kurangnya 17 rumah papan atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau, di sini, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi tadi dikatakan bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke beberapa kediaman lain sekitar penempatan atas air tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.20 pagi sebelum mengerahkan anggotanya dan jentera ke lokasi untuk menjalankan operasi memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Katanya operasi sedikit terjejas disebabkan keadaan air laut cetek sehingga menyukarkan pasukan operasi tiba ke lokasi kejadian dan terpaksa berjalan sejauh 150 meter dari bot.

“Api berjaya dikawal pada jam 9.58 pagi dan operasi pemadaman diteruskan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

“Operasi akhirnya berjaya ditamatkan pada jam 11.15 pagi,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.–AlHijrah Online

Leave a Reply