263 RAKYAT MALAYSIA DI ARAB SAUDI DIPILIH TUNAI HAJI

KUALA LUMPUR: Seramai 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi layak menunaikan ibadat haji pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan jumlah itu lebih ramai berbanding tahun lepas iaitu hanya lapan rakyat Malaysia yang dapat menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ujarnya Tabung Haji (TH) akan mengadakan kursus secara dalam talian berkaitan ibadah haji kepada semua jemaah yang layak.
“Malam esok (Khamis), Insyaallah saya akan adakan temu bual dengan bakal haji rakyat Malaysia yang sedang berada di kota suci Makkah Al-Mukarramah,” katanya menerusi program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Sesi kursus khas jemaah haji secara dalam talian itu akan berlangsung pada malam ini, Khamis 15 Julai, jam 9 malam (waktu Malaysia) manakala jam 4 petang (waktu Arab Saudi).
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi memutuskan hanya warganegara serta penduduk negara lain yang berada di negara tersebut sahaja dibenarkan menunaikan ibadat haji susulan keadaan pandemik COVID-19 yang tidak menentu di seluruh negara.–AlHijrah Online