30 KES BAHARU OMICRON DIKESAN DALAM KALANGAN INDIVIDU PULANG DARI ARAB SAUDI

KUALA LUMPUR: Sejumlah 49 kes baharu jangkitan COVID-19 varian Omicron dilaporkan di Malaysia pada 23 dan 24 Disember 2021.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah tersebut 30 daripadanya merupakan kes yang bertolak dari Arab Saudi.

“30 daripada kes ini dari Arab Saudi daripada mereka yang balik umrah dan kita dapati bahawa sebahagian besar mereka tidak patuh kepada pengasingan daripada ahli keluarga.

“Mereka akan balik dan bergaul dengan ahli keluarga mereka termasuk menerima kunjungan tetamu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Selain Arab Saudi, baki kes baharu Omicron yang dilaporkan di Malaysia melibatkan individu yang bertolak dari United Kingdom, Qatar, Amerika Syarikat, Nigeria, Turki, Itali, UAE dan Ghana.

No photo description available.
No photo description available.

Menurut Khairy Jamaluddin pertambahan 49 kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 62 kes.

Tambah beliau kebanyakan daripada kes varian Omicron yang dilaporkan di Malaysia kategori 1 dan 2.

Beliau dalam pada itu menasihatkan mana-mana individu yang akan keluar negara termasuk menunaikan umrah untuk mendapatkan dos penggalak sebelum memulakan perjalanan.

Khairy Jamaluddin juga berkata mereka yang akan pulang dari Arab Saudi juga berkemungkinan akan diminta untuk memakai peranti pengesanan digital bagi memudahkan pemantauan. – AlHijrah Online

Leave a Reply