TV ALHIJRAH DIIKTIRAF STESEN TELEVISYEN PATUH SYARIAH

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris (kiri) menerima sijil pengiktirafan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

KUALA LUMPUR: TV AlHijrah terus menerima pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai stesen televisyen patuh syariah pada Asia Business & Leadership Excellence Award yang diadakan di ibu negara pada Khamis.

Pengiktirafan itu diberikan hasil penerbitan kandungan penyiaran Islam selain usaha dakwah yang berinovasi serta kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Namanzee Harris berkata, pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk TV AlHijrah meneruskan usaha dakwah dan menyebarkan keindahan agama Islam.

“Alhamdulillah atas pengiktirafan ini. Saya dedikasikan anugerah ini untuk semua yang terlibat dari awal penubuhan TV AlHijrah hingga hari ini.

“Anugerah ini juga penutup yang indah untuk tahun 2021 dan insya-Allah pada 2022 lebih banyak kandungan Islam bermanfaat akan kami hasilkan,” katanya.

Asia Business & Leadership Excellence Award anjuran FM Media Communications bertujuan memberi pengiktirafan kepada usahawan yang kekal berdaya saing dalam musim pandemik sejak dua tahun lalu.

Selain pengiktirafan pada Khamis, TV AlHijrah baru-baru ini turut dinobatkan pemenang Anugerah The BrandLaureate World Halal BestBrands E-Branding Award 2021 bagi kategori Anugerah Rakan Strategik Perniagaan. — AlHijrah Online

Leave a Reply