4,898 PERMOHONAN RENTAS NEGERI DI JOHOR KETIKA PKPB

JOHOR BAHRU: Sejumlah 4,898 permohonan permit rentas daerah dan negeri diterima oleh pihak polis, pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor.

Permohonan permit itu termasuk sempena sambutan Deepavali yang bakal disambut pada Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 76 permohonan telah ditolak.

Antara sebab permohonan ditolak termasuklah kawasan yang ingin dimasuki merupakan kawasan zon merah COVID-19.

Antara sebab permohonan rentas daerah dan negeri oleh pemohon di negeri itu adalah hal kecemasan, perubatan, serta alasan munasabah yang mengikut garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebanyak 68 kenderaan yang cuba untuk merentas negeri tanpa sebarang permit dan alasan yang kukuh pada Isnin, turut diarah berpatah balik.

“Kami suruh mereka untuk berpatah balik, jika mereka langgar arahan, kita akan mengenakan kompaun.

“Mana boleh cakap tidak tahu tentang PKPB, satu Malaysia sudah tahu, Menteri Kanan setiap hari memberi kenyataan, sudah pun disebarkan di laman sesawang.”

“Saya rasa soalan berkaitan SOP tidak wajar untuk ditanyakan lagi, ini bukan fasa satu, kita sudah masuk ke dalam fasa ketiga (gelombang COVID-19)”, kata Datuk Ayob semasa membuat tinjauan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Skudai.

Sebanyak 49 SJR PKPB dan SJR Ops Benteng dijalankan di seluruh Johor, yang melibatkan seramai 595 pegawai dan anggota polis serta 12 anggota RELA.

PKPB dilaksanakan di semua negeri di semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuatkuasa selama empat minggu bermula hari ini hingga 6 Disember depan.–AlHijrah Online

Leave a Reply