ADA BUKTI TIKTOK TURUNKAN KANDUNGAN KONFLIK PALESTIN-ISRAEL SECARA SISTEMATIK – FAHMI

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini mendedahkan terdapat bukti bahawa penyedia platform media sosial TikTok secara sistematik telah menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia.

Beliau berkata perkara itu terbukti apabila ramai pengguna platform berkenaan telah mengadu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa kandungan dan siaran langsung yang dimuat naik mereka telah diturunkan atau disekat, termasuk mengenai ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin, Selasa lepas.

“Saya bagi contoh, satu kandungan itu ucapan Perdana Menteri berserta dengan beberapa gambar dari Gaza.. berdasarkan maklum balas dari pihak TikTok mereka mengatakan ada gambar keganasan…Tetapi bila saya teliti balik kandungan itu, ia adalah seorang ayah yang mengangkat mayat anaknya yang diselimut.

“Tidak ada gambar darah, tidak ada yang orang kata macam yang menggerunkan. Bagi saya, ini tak masuk akal…Saya sangat-sangat marah dengan pihak TikTok dan kita telah memberi satu mesej yang kalau bagi saya mereka tak faham ini, kita kena fahamkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Kemanusian Palestin Bagi Penjawat Awam, Peringkat Kementerian Komunikasi dan Digital di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Tabung itu digerakkan selaras seruan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali agar setiap kementerian mengadakan kutipan sumbangan sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. 

Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau mengarahkan MCMC untuk membuat satu teguran keras kepada TikTok dan mengaturkan pertemuan mengenai isu tersebut.

Teguran itu katanya turut disampaikan kepada Meta.

“Kita tidak mahu hak bersuara kita terutama dalam isu Palestin ini dikekang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Fahmi berkata satu pertemuan bersama TikTok untuk menyampaikan pendirian kerajaan mengenai perkara tersebut telah diadakan semalam dan ia akan disusuli dengan satu lagi pertemuan yang diadakan minggu hadapan. –AlHijrah Online

Leave a Reply